meaning of life

Allah menguji hamba-Nya dengan cara yang paling unik, apabila menjadikan kekurangan itu juga satu anugerah..

setiap kali duji bisikkan ke hati.. ALLAH sedang mendidik, bukankah itu bererti ALLAH menyayangi mu?

ALLAH tidak melupakanmu..

kenang DIA dalam setap ujian-NYA!


betapa banyak kepahitan masa lalu menjadi sangat manis pada masa sekarang...

ingat hakikat itu wahai diri yang sedang menangis pada hari ini..

ilmu kita yang terbatas tidak akan dapat menjangkau ilmu ALLAH yang maha luas!


belajar dari kesilapan masa lalu, cinta pada tugasan masa kini, bersangka baik pada masa akan datang...

INSHAALLAH akan ada senyuman di hati dan bibirmu.. :)




"Then when you have taken a decision, put your trust in Allah."
[ Surah Al-'Imran ; 159 ]

"Anyone whom Allah intends good, HE makes them to suffer from some affliction (test/pain)"

-Riwayat Al-Bukhari

It takes some pain to have those wonderful miracle and gift. Allah is listening to you you and you! HE KNOWS, EVERY SINGLE THING... ;)


Sunday, June 15, 2014

bukan wanita biasa


WAJAH wanita ini cukup ayu bila dipandang. Tutur katanya pula lembut dan sopan serta berbudi bahasa dalam segala aspek. Melihatkan keperibadiannya itu tentu ada yang mengandaikan yang wanita cantik ini seorang guru ataupun ahli perniagaan berjaya.

Namun, segala telahan itu silap. Wajah nan ayu milik Wirdalina Tauhed, 31, ini sebenarnya seorang jurutera - kerjaya yang didominasi oleh lelaki.

Agak terkejut dengan kerjaya yang dipilih, namun itulah Wirdalina atau mesra dipanggil Wir. Baginya, semua kerjaya ada cabaran dan dugaan yang tersendiri. Yang penting, kita perlu bijak mengawal situasi dan jangan cepat panik.

Sebagai jurutera projek, Wir berkata, tugasnya sering dikelilingi kaum lelaki terutama ketika berurusan dan meninjau kawasan atau platform minyak. Selain itu, kekerapan berdepan pelanggan yang terdiri daripada bangsa asing juga harus dilalui oleh Wir dengan hati terbuka.

Bagi Wir, perkara sedemikian sudah lumrah jika berkecimpung dalam kerjaya jurutera, justeru dia mengambil pendekatan mudah iaitu sentiasa seronok ketika bekerja dan tunjukkan minat yang mendalam, insya ALLAH semuanya akan berjalan lancar.

Menceritakan pelbagai pengalaman manis dan cabaran pekerjaannya, beritahu Wir, kesemua pengalaman bekerja adalah sangat berharga.

"Saya masih ingat, ketika baharu melahirkan anak kedua, saya dikehendaki bertugas di pelantar minyak di tengah laut. Waktu itu saya mencari masa yang sesuai untuk mengepam susu. Bukan senang untuk melakukan semua ini, tapi saya nekad untuk mengepam juga demi bayi sendiri. Mujurlah terdapat kemudahan untuk tempat simpanan susu ketika di pelantar. Senanglah untuk dibawa balik ke rumah selepas selesai bertugas," ujarnya.

Wir berkata, antara cabaran lain yang perlu dilalui olehnya ialah bertugas dalam industri minyak dan gas memerlukan interaksi dan berurusan dengan ramai pekerja syarikat minyak dari seluruh dunia seperti Amerika, United Kingdom, Eropah, Negara Timur Tengah, Jepun, Australia dan negara-negara Asia Tenggara.
Menjaga adab pergaulan sebagai seorang Muslimah adalah keutamaan baginya dan alhamdulillah mereka sangat profesional dan menghormati prinsip-prinsip yang beliau pegang.

Apabila disuarakan tentang gaji, kelihatan bibirnya mengukir senyuman yang manis.

"Alhamdulillah, ALLAH telah menetapkan rezeki kita masing-masing. Dia juga yang memewahkan dan menyempitkan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Yang penting macam mana cara kita menguruskannya," katanya yang turut aktif dalam dunia modeling, aktif berniaga produk busana Muslimah dan sebagainya.


Kisah lalu penuh kenangan

"Semasa kecil, saya dibesarkan dalam keluarga yang berpendapatan rendah. Ayah bekerja sendiri sebagai kontraktor binaan, berkebun dan sebagainya. Ibu melatih kami untuk berdikari sejak kecil lagi dan saya bersama kakak sudah mula berniaga sejak kami di sekolah rendah. Pelbagai barangan yang dijual bermula dari makanan, aksesori wanita dan kelengkapan sekolah.

"Kami juga turut membantu ibu mengambil upah mencuci botol bekas minuman, membuat kotak plastik, menganyam alas kaki dan bermacam lagi.

"Dalam pada itu, saya juga pernah menjual sayur dari rumah ke rumah dan perkara inilah menjadikan diri ini mengenali ramai orang dan mengetahui keadaan mereka. Secara tidak langsung ia melatih kemahiran komunikasi dan keyakinan diri apabila berhadapan dengan orang dan memori inilah yang paling bermakna dalam kehidupan," katanya mengimbau kenangan lalu.

Ketika di bangku sekolah rendah, Wir berkata, dia telah dilantik menjadi seorang pengawas dan sangat garang terutama dengan murid lelaki. Pantang diusik pasti melawan.

Di sekolah menengah pula, Wir telah memasuki sekolah perempuan. Beliau tinggal berjauhan dengan keluarga, bermula tingkatan satu sehingga tingkatan lima dan menumpang di rumah seorang pengetua kenalan keluarga kerana rumah mereka lebih dekat dengan sekolah. Ketika ini, kehidupan banyak melatih dia hidup berdikari. Mencari pusat tuisyen, membeli perkakasan sekolah, buku-buku latihan untuk menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia, dilakukan dengan sendiri.

Berkongsi tentang hobi, Wir sememangnya minat berniaga sejak dulu hingga sekarang dan ia seperti sudah mengalir di dalam jiwa.

"Sejak kecil lagi saya telah terbiasa berniaga kecil-kecilan mencari duit belanja sendiri. Ketika zaman universiti, saya banyak melibatkan diri dalam jualan langsung.

"Di kolej, saya menjual buah-buahan yang telah dipotong dan diletakkan di tangga dan ketika bulan puasa saya menjual nasi goreng yang dimasak sendiri dari bilik ke bilik untuk bersahur dan bermacam-macam lagi.

"Dan sekarang hobi itu masih segar dan berterusan. Saya banyak menjual pakaian Muslimah seperti tudung, jubah, baju kurung dan lain-lain lagi secara sampingan. Oleh kerana ia adalah hobi, maka saya tidak kisah sama ada mendapat keuntungan atau tidak, yang penting saya suka berniaga. Suami pada mulanya tidak gemar saya berniaga kerana saya sudah ada pekerjaan sebagai jurutera, tetapi lama kelamaan dia memahaminya tentang minat tersebut. Dan sekarang, suami juga suka berniaga dan turut membantu saya dalam perniagaan yang disertai," katanya sambil tersenyum manja.


Bahagia bersama suami, anak-anak
Sudah lima tahun usia perkahwinan Wir dengan suaminya, Khairool Anwar Laksamana. Di kurniakan tiga cahaya mata comel sudah cukup menggambarkan mereka hidup dalam kebahagiaan.

Menceritakan tentang detik pertemuan dirinya dengan suami, kata Wir, mereka sebenarnya bertugas di syarikat yang sama suatu ketika dahulu.
"Pertemuan bermula ketika kursus induksi untuk pekerja baharu selama tiga minggu. Ketika itulah kami berjumpa dan berkawan seperti biasa sama seperti orang lain juga.

"Tanpa disedari, dia (suami) menyimpan perasaan terhadap saya dan telah mengungkapkan kata-kata cintanya itu beberapa minggu selepas itu.
"Saya melakukan solat istikharah supaya ALLAH mendekatkan saya kepada calon suami dan meminta restu dan pendapat ibu bapa sebelum berkahwin, maklumlah suami asalnya Sarawak, jauh tempatnya.
"Alhamdulillah ALLAH telah menjodohkan saya dengan suami tercinta dan kami bertunang November 2008 serta berkahwin Mac 2009," katanya.

Menyentuh perihal kerjaya dan keluarga, Wir akui dia hanya menjaga dan mendidik anak-anak pada hujung minggu sahaja dan selebihnya dia banyak berada di pejabat dan anak-anak bersama pengasuh.

"Sebelum ini, saya pernah mengambil cuti tanpa gaji hampir setahun dan pada masa itu saya berasakan waktu bersama anak-anak sangat berharga.

"Saya gunakan kesempatan ini untuk mendidik mereka dengan program homeschooling yang dirujuk di internet dan syukur padaNya, saya melihat perkembangan mereka begitu baik sekali," ujarnya.

Untuk mengeratkan kemesraan dan kebahagiaan mereka sekeluarga, setahun sekali Wir dan suami serta anak-anak akan ke luar negara dan selebihnya mereka melancong dalam negeri.

Pada hujung minggu pula, Wir akan menjemput rakan-rakan datang ke rumah melakukan aktiviti memasak bersama anak-anak dan membuat aktiviti seperti melukis dan mewarna.

Sekali-sekala Wir dan rakan-rakan juga melakukan aktiviti riadah seperti berkelah di air terjun dan pergi ke taman tema bersama-sama seperti Genting Highland, WaterWorld Melaka dan Legoland.

Profil

Nama: Wirdalina Tauhed
Adik-beradik: Anak kedua dari enam beradik
Pendidikan: SK Pilos Kem, Kulai jaya; Sekolah Menengah Sultan Ibrahim Girl School, Johor Bahru dan UTM Skudai (Kejuruteraan Elektrik - Telekomunikasi)
Kerjaya tetap: Jurutera projek
Kerjaya sampingan: Model
Anugerah:
i - Juara Pencarian Covergirl Nur 2011/2012
ii - Anugerah Ikon Muslimah- Anugerah Khas Islamic Banking and Finance Instutute Malaysia (IBFIM)
Makanan kegemaran: Asam pedas, nasi ambang, pecal, soto dan masakan kampung lain.
Minuman kegemaran: Smoothies buah-buahan dan cendol
Rahsia cantik: Amalkan pemakanan sunnah seperti kurma, badam dan mengambil minuman kesihatan berasaskan elemen pemakanan sunnah dan herba-herba wanita seperti manjakani. Turut perbanyakan minum air masak.
Nama suami: Khairool Anwar Laksamana
Umur: 31 tahun
Nama anak: Muhammad Altamis Idraki (5 tahun) Rania Zahra (3 tahun) Fatih Mishary (3 bulan)
Nama bapa: Tauhed Md Zain
Nama ibu: Khamidah Mamek

sumber:#BH

No comments:

Post a Comment