2. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam.
3. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
4. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari akhirat).
5. Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
6. Tunjukilah kami jalan yang lurus.
7. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.
Setiap orang Islam membaca surah yang pendek dan mengandungi tujuh ayat ini sekurang-kurangnya tujuh belas kali sehari semalam dan lebih sekali ganda lagi apabila ia menunaikan solat sunat dan sebanyak-banyaknya tanpa had apabila dia ingin mengadap Allah dengan solat-solat tambahan selain dari solat-solat fardu dan solat-solat sunat. Setiap solat tidak sah tanpa membaca surah ini. Ini berdasarkan keterangan hadith al-Bukhari dan Muslim dari Rasulullah SAW dari hadith 'Ubadat bin as-Samit: Sabda Rasulullah SAW:
"Tiada solat kepada mereka yang tidak membaca Surah al-Fatihah."
Di dalam surah ini terkandung dasar-dasar 'aqidah dan dasar-dasar kefahaman Islam, juga dasar-dasar perasaan (terhadap Allah) dan tawajjuh (berdoa) yang membayangkan sebahagian hikmat mengapa Surah al-Fatihah dipilih untuk diulang-ulangkan bacaannya dalam setiap raka'at solat dan hikmat batalnya setiap solat yang tidak dibacakan Surah al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment