meaning of life

Allah menguji hamba-Nya dengan cara yang paling unik, apabila menjadikan kekurangan itu juga satu anugerah..

setiap kali duji bisikkan ke hati.. ALLAH sedang mendidik, bukankah itu bererti ALLAH menyayangi mu?

ALLAH tidak melupakanmu..

kenang DIA dalam setap ujian-NYA!


betapa banyak kepahitan masa lalu menjadi sangat manis pada masa sekarang...

ingat hakikat itu wahai diri yang sedang menangis pada hari ini..

ilmu kita yang terbatas tidak akan dapat menjangkau ilmu ALLAH yang maha luas!


belajar dari kesilapan masa lalu, cinta pada tugasan masa kini, bersangka baik pada masa akan datang...

INSHAALLAH akan ada senyuman di hati dan bibirmu.. :)




"Then when you have taken a decision, put your trust in Allah."
[ Surah Al-'Imran ; 159 ]

"Anyone whom Allah intends good, HE makes them to suffer from some affliction (test/pain)"

-Riwayat Al-Bukhari

It takes some pain to have those wonderful miracle and gift. Allah is listening to you you and you! HE KNOWS, EVERY SINGLE THING... ;)


Wednesday, March 19, 2014

siapa pemimpin yang hendak kita pilih? @ustaz pahrol mohamad juoi

L.E.A.D.ER.S.H.I.P
Keunggulan sesuatu bangsa bergantung kepada dua faktor utama. Pertama, kekuatan budaya. Kedua, kemampuan pemimpinnya. Tanpa dua faktor ini, sesuatu bangsa akan jatuh walau sekuat mana kekuatan ekonomi dan ketenteraannya. Kedua-duanya merupakan pra-syarat yang mesti dipenuhi jika ingin memartabatkan bangsa. Semakin tinggi dan jauh perjalanan ke arah pencapaian cita-cita bangsa, maka seharusnya semakin kuatlah pula budaya dan wibawa kepemimpinannya.
Dua faktur itu umpama tiang seri pada sebuah rumah. Jika rumah ingin dibesarkan, maka semakin perlulah tiangnya diperkukuhkan. Pembesaran sebuah rumah, tanpa mengukuhkan tiang serinya hanya akan mempercepatkan robohnya rumah itu. Maka begitulah kias ibarat dalam usaha membangunkan kekuatan sesuatu bangsa. Tanpa usaha pengukuhan budaya dan memantapkan kepimpinan, akan tumbang oleh beban cita-cita besarnya.
Namun, bangsa yang sudah alah dan dipermalukan di pentas sejarah sekalipun masih mampu bangun jika kedua-dua faktor itu diperkukuhkan. Apa yang terjadi kepada Jerman dan Jepun, yang pernah mengalami kekalahan seperti yang disifatkan oleh sejarah sebagai ‘The worst defeat in history’? Kebangkitan yang amat menakjubkan. Dalam masa yang relatif singkat, dua negara itu telah bangun sebagai raksasa ekonomi dunia. Budaya Jepun yang kaya dengan nilai ilmu, semangat patriotik, etika kerja yang kuat dan lain-lain itu telah mampu membina semula Jepun dari puing-puing ledakan atom di Hiroshima dan Nagasaki.
Atas kesedaran inilah, kita mesti mempunyai budaya yang sesuai untuk menjadi sebuah bangsa yang maju. Istilah-istilah seperti transformasi, reformasi, Melayu baru dan lain-lain adalah manifestasi pada keinginan yang meluap-luap untuk mengukuhkan budaya Melayu. Sudah dirasakan bahawa, pada jati diri Melayu ada nilai-nilai positif yang perlu digilap untuk lebih menyerlah. Pada masa yang sama ada juga kelemahan yang perlu diatasi. Tegasnya, Melayu sebagai satu bangsa yang ingin maju, wajib berbuat sesuatu untuk meningkatkan lagi darjah kecemerlangan nilai-nilai budayanya yang baik. Soalnya bagaimana proses tranformasi budaya ini hendak dilaksanakan? Siapa yang akan menerajuinya?
Persoalan ini menjadikan faktor kedua (kekuatan pemimpin), menjadi begitu signifikan. Kekuatan pemimpin lebih dominan daripada kekutan budaya untuk menjamin keunggulan sesuatu bangsa kerana hanya pemimpin yang kuat sahaja mampu merubah atau melakukan tranformasi budaya. Seorang pemimpin yang baik ialah seorang ‘culture builder’ yang mampu membina kekuatan budaya bangsanya. Oleh kerana itulah sejak dahulu lagi apabila suatu bangsa muncul sebagai satu bangsa yang unggul, ia mesti diketuai oleh seorang pemimpin yang kuat. Contohnya, Meiji pada bangsa Jepun, Bismark untuk bangsa Jerman, Churchill untuk Inggeris dan George Washington pada bangsa Amerika .
Hakikat ini lebih jelas bila disorot melalui kacamata Islam. Jelas apabila Allah kehendaki sesuatu bangsa itu menjadi kuat dan berdaulat, maka Allah akan utuskan seorang pemimpin kepada bangsa tersebut. Pada umat Arab jahiliyah, Allah utuskan Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun, missi kedatangan Rasulullah adalah untuk seluruh manusia, di seluruh dimensi masa, namun tidak dapat dinafikan bangsa Arablah yang pertama dijulang oleh kekuatan kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w.
Begitulah juga nabi Musa a.s. di kalangan Bani Israel, yang kemudiannya memartabatkan Bani Israel setelah sekian lama ditindas oleh bangsa Qibti. Secara ‘Natural Law’ atau Sunnahtullah, jika sesuatu bangsa hendak ditakdirkan menjadi kuat, maka sudahj pasti dianugerahkan buat mereka seorang pemimpin yang bertindak sebagai peneraju, aspirasi dan pemangkin pada proses tranformasi budaya.
Bangsa Melayu juga tertakluk kepada hukum ini. Tahun-tahun yang akan datang perlukan pemimpin yang relevan dengan perubahan dan keadaan semasa. Cabaran-cabaran semasa selalunya menentukan corak kepimpinan pemimpin yang dimaksudkan. ‘Kelembutan dan ketegasan’  Abraham Lincoln, lahir ketika perlunya kesatuan Amerika tanpa dipisahkan oleh permasalahan penghambaan kulit hitam negara Utara dan Selatan. ‘Tangan Besi’ Bismark perlu untuk membentuk satu Jerman yang kukuh dan utuh. Dari segi kerohanian pula, kedatangan Nabi Isa a.s., Nabi Musa dan Nabi Muhammad s.a.w. sangat signifikan ketika nilai-nilai kemanusiaan hancur lebur oleh sifat tamak dan rakus manusia.
Jika hukum ‘situtional leader’ ini terus relevan, maka pemimpin bangsa Melayu abad ke 21 mestilah seorang yang mampu membina kekuatan ekonomi, kemantapan politik dan kesucian Islam di tengah-tengah ledakan era globalisasi dan prasangka dunia Barat yang tidak pernah jera dan reda. Dia juga dia mesti mampu berdepan dengan cabaran keruntuhan etika dan moral di mercu ketinggian sains dan teknologi. Seorang cendikiawan Melayu, Profesor Dr. Siddiq Fadhil pernah menegaskan seorang ‘culture builder’ adalah pemimpin yang boleh dijadikan role-model kepada rakyatnya. Menurutnya, tidak mungkin seseorang pemimpin mampu merubah orang lain, jika dia sendiri tidak mampu mengubah dirinya.
Seorang ‘culture builder’ harus mempunyai kemampuan yang lebih daripada itu. Dia bukan sekadar memimpin orang lain untuk mengikuti dirinya, tetapi dia juga mesti mampu memimpin orang itu untuk memimpin diri mereka sendiri. Setelah rakyat mampu memimpin diri mereka sendiri, barulah proses tranformasi budaya dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ini juga syarat yang tidak boleh dipandang ringan dalam hikari kepimpinan Melayu Islam terkini.
Hasrat membentuk masyarakat maju dengan acuan tersendiri (masyarakat Madani) adalah pancaran perjuangan untuk menyerlahkan nilai-nilai Islam tanpa meminggirkan kekuatan ekonomi, politik dan realiti perubahan yang melanda dunia. ‘Civilised Society’ saranan Al Farabi yang Islamik tidaklah sama dengan ‘Social Contract’ ilham Reaseau atau pemikir-pemikir politik Barat yang lain. Masyarakat Madani adalah masyarakat yang menggabungkan tiga teras kekuatan utama yakni politik, ekonomi dan agama demi kesejahteraan dan kemakmuran ummah. Natijahnya, negara akan maju serta kaya dengan nilai-nilai akhlak yang tinggi. Inilah ‘the true colours of Islam’ yang perlu ditampilkan oleh kepimpinan Melayu Islam di persada dunia antarabangsa.
Mungkin ini ‘perang baru’ yang menghantui Samuel Huntington dalam ‘Clash of Civilization’nya. Walau bagaimanapun kebimbangan itu tidak berasas kerana imej Islam yang cuba diketengahkan oleh Melayu Islam berbeza sama sekali dengan imej Islam yang sedang di bena di Timur Tengah dan Indo-Pakistan pada masa ini.
Sekarang mari kita lihat realitinya. Mari kita lihat betapa ramai ‘wakil rakyat’ yang tidak bersama rakyat. Tidak semestinya calon yang ditunjukkan oleh parti untuk menjadi ADUN atau MP adalah terdiri daripada individu yang benar-benar komited pada perjuangan membela rakyat. Kenapa mereka terpilih? Ini juga menimbulkan persoalan. Nampaknya, parti politik (tidak kira daripada parti mana) mesti mempunyai mekanisme yang lebih telus dan cekap untuk mengenal ‘mana intan mata kaca’ di kalangan calon-calon mereka sendiri.
Dan lebih aneh, kalau ‘kaca’ yang disangka permata ini boleh lepas daripada saringan untuk dipilih sebagai wakil rakyat yang bukan sahaja gagal bergelanggang di tengah rakyat (untuk sama-sama berpanas, berhujan dan berembun) tetapi untuk duduk dalam parlimen yang berhawa dingin pun mereka tidak mampu. Tentulah kerja berbahas, berhujah, memerah fikiran untuk membuat keputusan di dalam parlimen walaupun diakui adalah sukar dan mencabar tetapi melaksanakan keputusan itu saya kira jauh lebih sukar.
Saya teringat betapa satu ketika Sayidina Umar bertanya kepada sahabat-sahabatnya, “jika aku telah melantik orang yang baik sebagai pemimpin-pemimpin pembantuku, apakah aku telah melaksanakan amanah kepimpinan ini dengan baik?” Sahabat-sahabatnya menjawab, “tentu sudah wahai Amirul Mukminin…” Sebaliknya Umar menjawab, “belum, sehingga aku memastikan orang baik itu melaksanakan kebaikannya!” Bagaimana kita? Sudahkah terlantik orang yang baik? Itupun sudah terlalu sukar. Dan sudahkan orang yang baik melaksanakan kebaikannya? Bab yang kedua ini jauh lebih sukar.
Saya kira parti-parti politik perlu lebih ketat untuk menyaring bagi mendapat calon-calon terbaik mereka kerana kita tidak boleh mengharap rakyat berbuat demikian dalam pilihan raya umum. Ini kerana kecenderungan sekian lama oleh masyarakat yang memilih wakil rakyat mereka berdasarkan parti yang mereka yakini bukan calon yang terlibat. Kredibiliti calon lebih disandarkan kepada kredibiliti parti… ini masalahnya. Ini akan memberi ruang yang cukup besar untuk ‘wakil rakyat yang tak bersama rakyat’ ini mendapat kedudukan dalam parti walaupun mereka tidak langsung berada di hati para pengundi. Jadi apa yang mereka lakukan… hanyalah berbuat sesuatu agar tetap mendapat ‘perhatian’ beberapa orang yang berkuasa dalam parti ataupun wakil-wakil bahagian, untuk terus mendapat pencalonan sebagai calon ADUN atau MP.
Saya rasa ini juga satu sebab yang memungkinkan berlakunya ‘politik wang’ dalam parti pemerintah satu ketika dulu (hingga kini?). Bagi mereka yang ‘busuk’ ini adalah lebih mudah menggunakan wang untuk mempengaruhi individu-individu dalam parti daripada kerja keras untuk mempengaruhi rakyat di tengah masyarakat. Apabila menang pilihan raya, mereka mengaut untung melalui kedudukan dan status MP atau ADUN. Kemudian wang itu ‘dilaburkan’ sedikit untuk mendapat sokongan berterusan dalam parti. Kemudian mereka tercalon lagi.
Dan mengaut untung, lalu melabur lagi… Begitulah sifir mudah politik wang. Kedudukan dalam parti bukan dilihat sebagai amanah untuk berbakti tetapi sebagai pelaburan untuk menguntungkan peribadi. Bagi mereka, parti mungkin dilihat sebagai entiti perdagangan di mana telah kuasa digunakan untuk menjana keuntungan…
Rakyat berada nun jauh di sana… poster wajah calon yang ditampal pada musim-musim pilihan raya bukan ‘wajah’ calon itu yang sebenar. Rakyat hanya mengenal dacing, bulan dan lain-lain. Pada mereka itu sudah sinonim dengan kemakmuran, keislaman, keadilan yang kerap dilaung-laungkan. Tidak kiralah siapa orangnya, asalkan baik partinya. Betul juga, kalau hanya calonnya baik tetapi partinya tidak baik, mana mungkin jentera pembangunan setempat hendak dibangunkan?
Ia memerlukan keupayaan sebuah organisasi bukan kekuatan peribadi. Jadi apa harapan rakyat? Harapan rakyat ialah parti tersebut mesti berbuat sesuatu untuk memastikan agar ‘musang berbulu ayam’ ini tidak dicalon bukan untuk kali keduanya tetapi janganpun buat kali pertama! Masa 4-5 tahun adalah terlalu panjang untuk membiarkan pemimpin gadungan ini bermaharalela.
Ya, kini kita sudah diambang musim pilihanraya. Ketua-ketua parti, sama ada parti kerajaan mahupun pembangkang sudah rancak bercakap tentang wakil-wakil yang bakal dipilih atau ‘direhatkan’ menjelang pilihanraya yang akan datang. Lobi melobi mula berlaku. Malah suara-suara mula kedengaran ada kemungkinan pemimpin NGO akan turut serta memasuki pilihanraya. Dunia kepimpinan Malaysia berada di peringkat kematangan. Tahap di mana semakin ramai orang yang ingin muncul sebagai pemimpin. Secara sinis mungkin kita boleh berseloroh, akan tibakah masanya nanti ketika lebih ramai orang ingin memimpin daripada yang rela dipimpin. Waktu itu berapa keratkan yang masih tinggal untuk menjadi pengikut?
Dalam keghairahan membangunkan generasi muda sebagai pelapes kepemimpinan, elemen asas yang harus diterapkan ialah nilai-nilai dan etika kepimpinan yang berkesan. Saya kira elemen ini yang agak lemah dalam parti-parti politik di Malaysia. Satu kaedah pemantapan nilai yang kukuh belum terserlah. Sedangkan nilai adalah faktor utama dalam menentukan sikap dan perlakuan seseorang. Ia adalah benih kepada buah kebaikan dalam diri dan organisasi. Jadi kalau kita hanya bercakap soal buah, tetapi soal benihnya tidak disentuh, maka kita pasti gagal melahirkan pemimpin yang bersih, cekap dan amanah.
Bagaimana menanam nilai dalam diri anggota organisasi dan parti-parti politik khusnya? Pakar agama, pakar psikologi, motivasi dan pendidikan telah sepakat bahawa manusia itu ialah apa yang diyakininya. Ertinya, asas sistem nilai ialah keyakinan. Istilah yang selalu digunakan untuk keyakinan ini ialah ‘belief system’. Keyakinan ini dibentuk oleh prinsip fitrah insani dan juga soal keimanan yang bersumber dari wahyu. Dalam Islam elemen ini dinamakan akidah atau iman. Bila keyakinan sudah teguh, maka terbentuklah apa yang dikatakan ‘world-view’ atau pandangan alam – yakni bagaimana kita melihat kehidupan, diri dan alam ini. Dari sini terbentuklah sistem nilai. Sistem nilai ini ialah penentu dalam diri yang mempengaruhi pilihan seseorang. Dia akan memilih sesuatu yang dilihatnya bernilai dan meninggalkan sesuatu yang tidak bernilai. Akhirnya, inilah yang membentuk sikap dan kelakuan seseorang.
Itulah gambaran selayang pandang tentang erti nilai dan bagaimana menerapkannya dalam organisasi politik. Jadi soalan yang menarik untuk difikirkan ialah sudahkan biro atau bahagian dalam parti berkenaan berfikir tentang persoalan ini dengan serius? Sudahkan dirangka pelan tindak untuk memantapkan keimanan sebagai asas keyakinan diri para pengikut terutamanya mereka hendak menjadi calon ADUN dan MP? Apakah mereka sudah melalui satu program atau proses mengenal pasti nilai-nilai yang hendak dijadikan pegangan oleh parti? Apakah mereka tahu, mahu dan mampu untuk menyelaraskan tindakan seharian dengan nilai-nilai yang diyakini atau ada ‘percanggahan’ perlakuan dan keyakinan yang akhirnya melahirkan pemimpin yang cakap tak serupa bikin?
Tanpa minda dan pengertian yang tepat, seseorang hanyalah seperti ‘burung tiong yang pandai bercakap’ sekalipun telah dinobatkan sebagai pemimpin. Burung tiong hanya pandai bercakap kerana ia dilatih untuk menurut apa yang diperkatakan tanpa memahami pengertiannya. Keadaan yang sama boleh berlaku bila seseorang menjadi pemimpin tetapi tidak memahami langsung erti, nilai, etika dan kriteria kepimpinan. Hakikat ini sering berlaku di dalam parti terutamanya apabila seseorang terlalu mengikut apa yang dilakukan oleh orang No.1 secara Pak Turut semata-mata.
Pemimpin bukanlah satu profesyen biasa yang boleh ditangani secara mudah. Tanpa persediaan yang cukup, akan lahir pemimpin-pemimpin ‘instant’ yang tidak tahan godaan dan tidak mampu menangani cabaran terkini. Kualiti pemimpin tidak sama dengan makanan segera yang sifatnya cepat disiapkan, cepat pula dimakan. Pemimpin yang muncul mendadak, cepat naik dan kemudian cepat pula jatuhnya samalah seperti Mee segera – “cepat dimasak, sedap dimakan…” kemudian cepat pula dibuang!”
Keghairahan untuk menjadi pemimpin di kalangan generasi muda mestilah diimbangi oleh ilmu kepimpinan khususnya memahami erti kepimpinan sebenar. Yang paling penting sebelum memimpin orang lain, mereka harus belajar memimpin diri sendiri dahulu. Dengan memahami definasi kepimpinan terutama yang berkaitan dengan elemen-elemen asasnya, seorang bakal pemimpin akan tahu apakah persiapan yang perlu dibuat dari segi mental, spiritual dan fizikal untuk memikul tanggung-jawab kepimpinan. Untuk mendapat ilmu kita perlu belajar dan untuk belajar kita mesti menjadi pengikut. Oleh itu, tidak salah kalau kita belajar menjadi pengikut yang baik terlebih dahulu sebelum menjadi pemimpin yang baik.
Yang pastinya bakal pemimpin harus belajar mengenal diri sendiri, menganalisis potensi pemikirannya serta mencungkil sebanyak-banyaknya iktibar dan hikmah dari pengalaman yang boleh digarap ketika mengharungi realiti sepanjang hayatnya. Dari segi ketahanan diri pula, mereka perlu didedahkan kepada cabaran dan dugaan hidup yang diterjemahkan melalui program wacana, kembara, dilatih mengharungi kaedah-kaedah ‘survival’, hidup ditengah masyarakat, serta dipandu untuk mendisiplinkan diri secara istiqamah dan penuh iltizam demi menyerlahkan lagi jatidiri berteraskan nilai-nilai murni yang abadi.
Di alaf matang dunia kepimpinan ini, kebijaksaan sangat diperlukan untuk mempertahankan kualiti kepimpinan dari sekian banyak kuantitinya. Apabila tokoh-tokoh korporat dan golongan profesional menceburi politik, mereka perlu faham bahawa yang mereka hadapi kini ialah manusia yang ada fikiran dan perasaan bukan mesin dan produk. Sekurang-kurangnya mereka seharusnya tidak terkeliru antara peranan kepemimpinan dengan pengurusan. Berdasarkan definasi kepimpinan yang tepat, kita seharusnya dapat membezakan antara pemimpin dan pengurus. Stephen R. Covey dalam bukunya “The 7 Habit of Highly Effective People” dengan jelas membezakan antara seorang pengurus dengan seorang pemimpin. Menurutnya, fokus asas kepimpinan ialah: Apakah perkara yang mahu dicapai, sedangkan fokus asas pengurusan ialah: Apakah cara atau alternatif yang paling baik untuk mencapai perkara yang telah ditentukan.
Berdasarkan kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa kepimpinan dahulu dan pengurusan kemudian. Secara analoginya, “pengurusan ialah kecekapan memanjat tangga kejayaan; kepimpinan menentukan sama ada tangga itu menyandar pada tembok yang betul”. Peter Druker dan Warren Danis pula mendefinasikan, “Management is doing things right; Leadership is doing the right thing”. Dalam ertikata yang lain, pengurusan dan kepimpinan bukanlah suatu yang sinonim. Pengurus yang baik tidak semesti pemimpin yang baik begitulah sebaliknya. Seorang pengurus dikehendaki merancang, menyusun kakitangan dan mengawal. Manakala pemimpin berperanan mempengaruhi dan menentukan agar pengikut sentiasa menuju ke arah matlamat.
Pengurusan yang cekap tanpa kepimpinan yang berkesan adalah seperti ‘berlunjur sebelum duduk.’ Seorang yang hanya berwatak pengurus, tidak akan mampu mempengaruhi dan mengarah anggota organisasinya mencapai matlamat organisasi. Penyusunan yang baik, plan tindak yang kreatif dan prasarana yang mencukupi, tidak bermakna apa-apa jika anggota organisasi tidak dapat dipengaruhi dan didorong untuk bertindak. Justeru itu secara idealnya, seorang pengurus mestilah juga merupakan seorang pemimpin kerana ia seharusnya mampu mempengaruhi sarbodinat ke arah pelaksanaan.
Tegasnya, kriteria dan kelayakan yang perlu ada pada seorang pemimpin adalah lebih tinggi daripada seorang pengurus atau peniaga. Antara sifat yang perlu ada ialah mereka mesti mempunyai keperibadian dan karisma semula jadi seperti keupayaan berfikir, keberanian yang luar biasa, kepetahan berkata, wajah yang menarik dan lain-lain. Mereka mesti memiliki kekuatan jiwa, akal dan perasaan yang melahirkan pelbagai sifat baik seperti tabah, yakin, berani, tahan uji, optimis, tegas, mempunyai idea, kaya minda, berstrategi, kreatif, bijaksana, imiginasi, simpati, empati, prihatin, timbang-rasa, lemah-lembut, kasih-sayang dan pemaaf.
Dengan segala sifat yang baik barulah mereka boleh berperanan. Pemimpin mesti boleh berperanan dengan baik. Malangnya, ramai yang berfikir secara songsang – apa yang difokuskan bukan peranan tetapi ganjaran. Jika kita hanya berfikir tentang ganjaran, maka ini akan menyebabkan kita mengabaikan peranan. Sebaliknya, bila seseorang pemimpin fokus pada peranan, maka ganjaran akan datang dengan sendirinya. Malangnya, wakil rakyat yang kita sebut diawal tulisan ini asyik memikirkan ganjaran bukan peranan. Apakah peranan utama pemimpin?
Secara ringkas saya nyatakan bahawa ruang-lingkup peranan pemimpin terbahagi dua: Menjaga keperluan lahiriah (kebajikan) pengikut. Kedua, mendidik (akliah, perasaan dan rohaniah) para pengikutnya. Untuk itu mereka harus mempunyai watak yang ‘verstyle’. Antaranya mereka perlu berwatak guru, sahabat, motivator, kaunselor, imam solat dan sebagainya. Walaupun mungkin mereka tidak semestinya mempunyai ilmu dan kebolehan khusus dalam bidang-bidang tersebut, tetapi mereka mesti memilki ‘general knowledge’ yang membolehkan mereka berperanan serba sedikit. Itulah sifat pemimpin, jika kita tidak layak… beri laluan pada yang lain!
Sekara untuk bermuhasabah, apakah anda (khususnya wakil rakyat) apakah anda pernah mengajar dan mendidik orang bawahan anda? Apakah anda pernah berusaha untuk melahirkan lebih banyak pemimpin pelapes? Apakah anda giat menambah kemahiran kepimpinan sama ada yang berkaitan ‘behavioral skills’ atau ‘technical Skills’? Dan sebagai pemimpin Islam sudahkah anda memantapkan lagi ilmu-ilmu asas di bidang akidah, feqah dan akhlak? Jika jawapannya ‘belum’, maka anda seharusnya belajar jadi pemimpin bukan memimpin. Inilah yang dimaksudkan oleh Imam Safie, “belajarlah sebelum jadi pemimpin!”
Untuk menjalankan peranannya, para pemimpin (sepertimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW) mestilah menjadi khadam (hamba) kepada pengikutnya. Di satu hadis yang lain Rasulululah menegaskan para pemimpin ialah ‘gembala’ kepadanya pengikutnya. Ertinya, tugas kepemimpinan adalah amanah bukan anugerah. Ia akan dihisab dipertanggung-jawabkan (ditanggung dan akan disoal) tentang kepimpinannya bukan sahaja oleh ketua parti atau Perdana Menteri tetapi oleh Tuhan.
Jika para pemimpin sedar tentang hakikat ini, mereka bukan sahaja akan merendah diri, rajin dan komited dengan tugas bahkan bimbang bila dilantik menjawat sesuatu amanah. Memang, sikap kita dengan kepimpinan seharusnya tidak berebut untuk mendapatkannya tetapi apabila telah dilantik juga dia akan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan iltizam.
Kesimpulannya, kejahilan kita tentang tanggung-jawab dan amanah kepimpinan telah menyebabkan berlakunya perebutan untuk menjadi pemimpin. Dan apabila telah dilantik, tidak menunaikan amanah dengan sebaik-baiknya. Memahami erti kepimpinan dan menguasai ilmu tentang elemen-elemen asasnya, adalah pra-syarat buat seseorang untuk menjadi pemimpin. Bayangkan, sedangkan seorang tukang masak pun mesti mempunyai ilmu tentang masakan, apalagi seorang pemimpin… Kita menaruh harapan agar Malaysia mampu melahirkan pemimpin yang berkualiti

No comments:

Post a Comment